
BIMBANG ketinggalan menyaksikanpasukan kegemaran anda beraksi ketika perlawanan Piala Dunia? Atau sering berebut alat kawalan jauh bersama insan tersayang yang ingin menonton rancangan lain ketika perlawanan bola sepak sedang berlangsung.
Kini anda boleh menarik nafas lega kerana saluran satelit berbayar, Astro menawarkan aplikasi interaktif terbaru bagi peminat bola sepak melalui telefon pintar, Internet serta televisyen.
Menurut Naib Presiden Perniagaan Perkhidmatan Jualan dan Penyiaran, Teknologi serta Bahagian Media Baru Astro, Eric Foo, dua medium baru yang diperkenalkan Astro iaitu rangkaian televisyen dalam talian di Internet serta telefon pintar merupakan saluran pilihan jika peminat sukan tersebut tidak dapat menontonnya di kaca televisyen.
“Sebagai tambahan, Astro memperkenalkan saluran interaktif B.Player yang membawakan anda kelebihan memilih untuk menonton perlawanan yang bersiar secara langsung semudah memetik butang.
“Untuk menikmatinya kami telah menyediakan aplikasi yang boleh diakses menerusi telefon pintar seperti Iphone.
“Pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi tersebut daripada stor aplikasi pada Iphone masing-masing,” ujarnya ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Setelah memuat turun aplikasi tersebut, anda boleh mengakses pelbagai video Piala Dunia mahupun menyaksikan perlawanan secara langsung melalui telefon pintar.
Buat masa ini, aplikasi tersebut hanya boleh digunakan oleh pengguna talian Maxis Hotlink dan diaktifkan dengan menggunakan peranti 3G.
Namun bagi pengguna yang tidak memiliki Iphone mahupun mana-mana jenis telefon pintar, anda juga berpeluang menonton perlawanan bola sepak melalui Internet.
Aplikasi B.Player turut tersedia dalam talian yang mana pengguna boleh melayari laman web www.astro.com.my dan mendaftar secara percuma.
Pengguna yang memiliki talian Maxis serta pek Astro Sport boleh menikmati perlawanan secara langsung daripada semua 64 perlawanan.
Manakala bagi yang tidak memiliki akaun Astro atau talian Maxis, anda juga boleh menonton tetapi hanya sebanyak 38 perlawanan sahaja.
Jelas Eric Foo, aplikasi B.Player merupakan generasi teknologi terbaru yang memberikan kepuasan, fleksibiliti dan mobiliti kepada pengguna yang ingin menonton mana-mana perlawanan bola sepak mengikut kehendak mereka.
B.Player juga dicipta bersama aplikasi interaktif Panduan Program Elektronik (EPG) yang mampu memberikan kemudahan navigasi (panduan) dan mengakses jadual serta informasi perlawanan.
Tambah beliau lagi, aplikasi interaktif seperti B.Player untuk perlawanan bola sepak Piala Dunia tersebut akan dibangunkan lagi untuk saluran-saluran Astro yang lain di masa akan datang.
No comments:
Post a Comment